Terms & Conditions
1. PERJANJIAN PENGGUNA (USER AGREEMENT)
Laman web rasmi Redang Beach Resort dikendalikan bersama oleh Redang Beach Resort Sdn Bhd (No. Syarikat: 199101013636) dan Redang Aquatic Adventure Sdn Bhd (No. Syarikat: 199301011499), iaitu pengendali yang sah bagi urusan tempahan dan pembayaran Resort.
Dengan mengakses atau menggunakan laman web ini (www.redang.com.my) anda mengesahkan bahawa anda berumur sekurang-kurangnya 18 tahun dan bersetuju untuk terikat dengan Terma dan Syarat ini.
Semua tempahan, pembayaran dan komunikasi berkaitan yang dibuat melalui laman web ini adalah tertakluk kepada polisi umum tetamu Resort serta terma jualan dan pembayaran yang ditetapkan oleh Jabatan Jualan.
Jika anda tidak bersetuju dengan mana-mana bahagian Terma dan Syarat ini, sila hentikan penggunaan laman web ini.
2. POLISI HARGA (PRICE POLICY)
Semua harga yang dipaparkan adalah dalam Ringgit Malaysia (RM / MYR).
Kadar mungkin berbeza bergantung kepada jenis pakej, kategori bilik, musim perjalanan, promosi dan ketersediaan bilik.
Harga adalah tertakluk kepada perubahan tanpa notis awal.
Tambahan pilihan seperti pengangkutan darat, sewaan peralatan, persiapan majlis/celebration, dan hidangan tambahan mungkin akan dikenakan caj tambahan.
3. KAEDAH TEMPAHAN (BOOKING METHODS)
A. Tempahan Dalam Talian (Payment Gateway Laman Web Rasmi)
Ketersediaan bilik masa nyata (real-time) dipaparkan di laman web.
Bayaran penuh diperlukan pada waktu tempahan dibuat.
Kaedah pembayaran yang diterima termasuk FPX Perbankan Internet, Kad Kredit/Debit dan e-Wallet yang disokong.
Selepas pembayaran berjaya, sistem akan mengeluarkan Baucar Hotel (Hotel Voucher) secara automatik melalui emel.
Tetamu bertanggungjawab untuk memberikan alamat emel dan maklumat hubungan yang tepat dan sah.
Fungsi tempahan dalam talian akan ditutup lima (5) hari bekerja sebelum tarikh daftar masuk.
Semua bayaran dalam talian adalah TIDAK BOLEH DIKEMBALIKAN dan TIDAK BOLEH DIPINDAH MILIK.
B. Tempahan Manual (Emel / Telefon / Ejen Sah)
Tempahan boleh dibuat melalui emel ke travel@redang.com.my, dengan menghubungi 03-20315079 (Pejabat Jualan Kuala Lumpur), atau melalui rakan pelancongan yang diiktiraf.
Emel pengesahan manual akan dikeluarkan selepas ketersediaan disahkan.
Jadual Pembayaran Manual:
Lebih daripada 3 minggu sebelum daftar masuk:
Deposit RM100 seorang diperlukan dalam tempoh 7 hari selepas pengesahan;
Baki selebihnya perlu dijelaskan sekurang-kurangnya 3 minggu sebelum tarikh ketibaan.
Dalam tempoh 3 minggu sebelum daftar masuk:
Bayaran penuh diperlukan dalam masa 24 jam selepas pengesahan.
Kegagalan membuat bayaran dalam tempoh masa yang dinyatakan akan mengakibatkan tempahan dibatalkan secara automatik.
Semua deposit dan bayaran adalah TIDAK BOLEH DIKEMBALIKAN dan TIDAK BOLEH DIPINDAH MILIK.
4. POLISI PEMBAYARAN (KETAT)
(PAYMENT POLICY – STRICT)
Polisi ini terpakai untuk semua kaedah tempahan dan semua tetamu.
Semua bayaran adalah TIDAK BOLEH DIKEMBALIKAN dan TIDAK BOLEH DIPINDAH MILIK dalam apa jua keadaan sekalipun, termasuk tetapi tidak terhad kepada: perubahan rancangan, sakit, cuaca buruk, gangguan pengangkutan atau sekatan kerajaan.
Tetamu amat digalakkan untuk mengambil insurans perjalanan menyeluruh (rujuk Seksyen 13) bagi melindungi sebarang kerugian akibat pembatalan perjalanan, kelewatan, atau kecemasan perubatan.
Tetamu dikehendaki mengakui dan menerima polisi TIDAK BOLEH DIKEMBALIKAN yang ketat ini sebelum mengesahkan tempahan.
5. E-INVOIS & MAKLUMAT BIL (E-INVOICE & BILLING INFORMATION)
Senarai nama tetamu yang lengkap mesti dihantar sebelum ketibaan bagi tujuan pengeluaran baucar dan pengagihan bilik.
Nama bil dan maklumat pengebilan hendaklah diberikan pada masa tempahan atau pembayaran dibuat.
Apabila e-Invois telah dikeluarkan, butiran tidak boleh diedit; sebarang pembetulan memerlukan pengeluaran Nota Kredit (Credit Note) dan pengeluaran semula e-Invois yang baharu.
Sebarang kos pentadbiran atau kelewatan yang berpunca daripada butiran yang tidak tepat adalah di bawah tanggungan Tetamu/Syarikat sepenuhnya.
Permohonan pindaan nama atau penggantian tetamu hendaklah dibuat sekurang-kurangnya tiga (3) hari bekerja sebelum tarikh daftar masuk.
6. KEADAAN KECEMASAN / FORCE MAJEURE (FORCE MAJEURE)
Resort tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kelewatan, gangguan atau kegagalan melaksanakan obligasinya yang disebabkan oleh kejadian di luar kawalan munasabah pihak Resort, termasuk tetapi tidak terhad kepada: cuaca teruk, gangguan perkhidmatan feri, penutupan pulau, atau arahan kecemasan.
Dalam keadaan sebegini:
Semua bayaran yang telah dibuat adalah TIDAK BOLEH DIKEMBALIKAN dan TIDAK BOLEH DIPINDAH MILIK.
Penangguhan (postponement) adalah satu-satunya bentuk ganti rugi yang diberikan kepada Tetamu. Nilai penuh bayaran asal akan digunakan sebagai kredit untuk tarikh perjalanan baharu.
Penginapan yang telah ditangguhkan mesti digunakan dalam tahun operasi yang sama dengan tempahan asal. Sebarang nilai tempahan yang tidak digunakan selepas pulau ditutup untuk musim tengkujuh akan luput dan terbatal sepenuhnya.
Caj pentadbiran penangguhan standard (RM100) akan diketepikan (diwaive).
Peraturan Perbezaan Harga:
Jika tarikh baharu jatuh dalam Musim Biasa / Musim Rendah (Normal / Low Season), tiada caj tambahan perbezaan harga pakej akan dikenakan.
Jika tarikh baharu jatuh dalam Musim Puncak (Peak Season) termasuk cuti umum dan cuti sekolah, Tetamu dikehendaki membayar perbezaan harga untuk mematuhi kadar Musim Puncak yang berkenaan.
Hanya satu (1) penangguhan dibenarkan bagi setiap tempahan.
7. PENGANGKUTAN & PERKHIDMATAN PEMINDAHAN (TRANSPORTATION & TRANSFER SERVICES)
Semua perkhidmatan feri dikendalikan oleh syarikat pihak ketiga yang bebas. Pihak Resort tidak bertanggungjawab atas sebarang kelewatan, perubahan jadual, atau pembatalan yang dibuat oleh pengendali feri.
Resort tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian kewangan yang timbul, termasuk kegagalan mengejar penerbangan sambungan, kos perjalanan tambahan, atau perbelanjaan lain yang berpunca daripada gangguan tersebut.
Tetamu dinasihatkan merancang masa perjalanan dengan masa buffer yang mencukupi, dan mengambil insurans perjalanan yang bersesuaian.
8. LANJUTAN PENGINAPAN AKIBAT CUACA / PEMBATALAN FERI
(EXTENDED STAY DUE TO WEATHER / FERRY CANCELLATION)
Jika tetamu perlu memanjangkan tempoh penginapan kerana keadaan laut yang tidak selamat atau pembatalan oleh pengendali feri, caj penginapan tambahan akan mengikut polisi harga di Resort pada waktu penginapan tersebut.
Keselamatan tetamu sentiasa menjadi keutamaan pihak Resort.
9. POLISI KANAK-KANAK (CHILD POLICY)
Bayi (0–3 tahun): Percuma jika berkongsi katil sedia ada dengan ibu bapa (tiket feri/boat masih diperlukan).
Kanak-kanak (4–11 tahun): Kadar pakej kanak-kanak akan dikenakan.
Dewasa (12 tahun ke atas): Kadar pakej dewasa akan dikenakan.
- Umur kanak-kanak ditentukan berdasarkan tahun kelahiran.
10. MASA DAFTAR MASUK & KELUAR (CHECK-IN & CHECK-OUT)
Masa daftar masuk: Dari jam 1.00 petang ke atas, tertakluk kepada kesediaan bilik.
Masa daftar keluar: Sebelum jam 9.30 pagi.
Daftar keluar awal diperlukan kerana jadual feri yang tetap serta masa yang diperlukan untuk pengendalian bagasi dan kerja pembersihan bilik bagi menerima ketibaan tetamu berikutnya.
Tetamu yang tiba awal boleh meletakkan bagasi di kaunter penyambut tetamu sementara menunggu masa daftar masuk.
11. POLISI PEMBATALAN & TIDAK HADIR (CANCELLATION & NO-SHOW POLICY)
Semua pembatalan atau ketidakhadiran (no-show) akan mengakibatkan 100% daripada semua bayaran yang dibuat dilucut hak.
Daftar keluar awal atau pengurangan bilangan malam penginapan tidak layak untuk sebarang bayaran balik atau pelarasan kadar.
Semua bayaran kekal TIDAK BOLEH DIKEMBALIKAN dan TIDAK BOLEH DIPINDAH MILIK.
12. POLISI PENANGGUHAN (KETAT) (POSTPONEMENT POLICY – STRICT)
Penangguhan bukan hak automatik dan mesti dimohon secara bertulis melalui emel rasmi kepada Pejabat Jualan Kuala Lumpur (KLSO). Semua permohonan penangguhan adalah tertakluk kepada kelulusan pengurusan dan ketersediaan bilik.
A. PERATURAN STANDARD
i. Permohonan yang dihantar sekurang-kurangnya dua puluh satu (21) hari kalendar sebelum tarikh daftar masuk asal
- Tiada caj penangguhan atau pelucuthakan akan dikenakan.
- Walau bagaimanapun, permohonan masih tertakluk kepada kelulusan pengurusan, ketersediaan bilik, dan sebarang perbezaan kadar yang terpakai.
ii. Permohonan yang dihantar antara dua puluh (20) hingga tujuh (7) hari kalendar sebelum tarikh daftar masuk asal
- Caj penangguhan sebanyak RM100 bagi setiap tempahan akan dikenakan.
- Tiada pelucuthakan akan dikenakan.
- Sebarang perbezaan kadar yang terpakai hendaklah dijelaskan sebelum Hotel Voucher baharu dikeluarkan.
iii. Permohonan yang dihantar dalam tempoh tujuh (7) hari kalendar sebelum tarikh daftar masuk asal
Permohonan tersebut adalah tertakluk kepada:
- Pelucuthakan 50% daripada jumlah pakej; dan
- Caj penangguhan RM100 bagi setiap tempahan.
Selepas permohonan diluluskan, baki 50% daripada jumlah pakej bersama caj penangguhan RM100 hendaklah dijelaskan sebelum Hotel Voucher baharu dikeluarkan.
iv. Permohonan yang dibuat pada tarikh daftar masuk asal atau dalam tempoh dua puluh empat (24) jam sebelum tarikh daftar masuk asal
Sebarang permohonan penangguhan yang dibuat pada tarikh daftar masuk asal, atau dalam tempoh dua puluh empat (24) jam sebelum tarikh daftar masuk asal, tidak akan diterima dalam apa jua keadaan dan tempahan tersebut akan dianggap sebagai pelucuthakan penuh (100%).
Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, panggilan telefon, makluman lisan, atau mesej tidak rasmi tidak akan dianggap sebagai permohonan penangguhan yang sah, melainkan dan sehingga permohonan tersebut dihantar melalui emel rasmi kepada Pejabat Jualan Kuala Lumpur (KLSO).
Contoh:
- Jika daftar masuk adalah pada 20 November, maka hari terakhir untuk menghantar permohonan penangguhan di bawah peraturan 21 hari ialah sebelum 11:59 malam pada 29 Oktober (Waktu Malaysia).
- Hari terakhir untuk menghantar permohonan di bawah peraturan 7 hari ialah sebelum 11:59 malam pada 12 November (Waktu Malaysia).
Hanya satu (1) penangguhan dibenarkan bagi setiap tempahan.
Tarikh perjalanan baharu mesti jatuh dalam tahun operasi yang sama dan digunakan sebelum pulau ditutup bagi musim tengkujuh.
Penangguhan tidak boleh dibawa ke tahun berikutnya; sebarang penangguhan yang tidak digunakan selepas penutupan pulau akan dilucuthakkan.
Penginapan yang dijadualkan semula akan mengikut kategori harga dan musim asal tempahan:
- Jika tarikh baharu tertakluk kepada kadar yang lebih tinggi (contohnya daripada early-bird rate kepada normal rate, atau daripada normal season kepada peak season), bayaran tambahan bagi perbezaan kadar akan dikenakan.
- Jika tarikh baharu tertakluk kepada kadar yang lebih rendah, tiada pengurangan harga, pemulangan wang, atau bayaran balik perbezaan kadar akan diberikan.
B. KES KECEMASAN (DALAM 7 HARI)
Bahagian ini terpakai bagi kecemasan seperti kecemasan perubatan atau kematian ahli keluarga terdekat.
Dokumen sokongan yang sah mesti dikemukakan.
Walaupun dokumen sokongan yang sah telah dikemukakan, perkara berikut tetap terpakai:
- Pelucuthakan 50% daripada jumlah pakej; dan
- Caj penangguhan RM100 bagi setiap tempahan.
Baki 50% bersama caj RM100 hendaklah dijelaskan sebelum Hotel Voucher baharu dikeluarkan.
Sekiranya tiada dokumen sokongan yang sah dikemukakan, kes tersebut akan dianggap sebagai no-show (pelucuthakan 100%).
C. TEMPAHAN KUMPULAN
Penangguhan terpakai mengikut bilik, bukan mengikut individu.
Dalam tempahan kumpulan, satu bilik boleh memohon penangguhan manakala bilik lain meneruskan penginapan seperti dijadualkan.
Tetamu yang berkongsi bilik yang sama tidak boleh memohon penangguhan secara individu.
Jika salah seorang tetamu dalam bilik berkongsi tidak meneruskan perjalanan tetapi tetamu lain masih menggunakan bilik tersebut, bahagian tetamu yang tidak hadir akan dianggap sebagai no-show (pelucuthakan 100%).
Bagi bilik yang ditangguhkan, terma penangguhan yang berkaitan di atas akan terpakai, termasuk sebarang pelucuthakan, caj penangguhan, dan baki yang dibawa ke tarikh baharu.
D. MASA PENGHANTARAN (PERATURAN CAP MASA)
Permohonan penangguhan akan dianggap sebagai “diterima” berdasarkan cap masa emel (timestamp) apabila ia sampai ke mana-mana peti masuk rasmi Pejabat Jualan Kuala Lumpur, termasuk:
emel umum Jualan: travel@redang.com.my
; atau
emel wakil Jualan individu seperti yang dinyatakan dalam pengesahan tempahan.
Peraturan ini terpakai tanpa mengira waktu operasi pejabat.
Permohonan yang diterima sebelum 11:59 malam (Waktu Malaysia) pada sesuatu tarikh akan dianggap diterima pada hari kalendar tersebut.
Permohonan yang diterima selepas 11:59 malam (Waktu Malaysia) akan dianggap diterima pada hari kalendar berikutnya.
13. INSURANS PERJALANAN (TRAVEL INSURANCE)
Tetamu amat digalakkan untuk mengambil insurans perjalanan menyeluruh yang meliputi pembatalan perjalanan, kelewatan, kos perubatan, serta gangguan berkaitan cuaca.
Resort tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang berada dalam skop perlindungan insurans perjalanan.
Polisi tidak boleh dikembalikan (non-refundable) ini kekal terpakai sepenuhnya walaupun tuntutan insurans ditolak.
14. TANGGUNGJAWAB TETAMU (GUEST RESPONSIBILITY)
Tetamu bertanggungjawab ke atas keselamatan dan penjagaan barangan peribadi masing-masing.
Resort tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan barang peribadi, kecuali jika dibuktikan bahawa kehilangan atau kerosakan tersebut berpunca secara langsung daripada kecuaian melampau (gross negligence) atau perbuatan salah disengajakan (wilful misconduct) oleh pihak Resort atau pekerjanya.
Penyertaan dalam sebarang aktiviti (seperti snorkelling, selam skuba dan lain-lain) adalah atas risiko dan tanggungan tetamu sendiri.
Tetamu bukan berdaftar (pelawat) hanya dibenarkan berada di kawasan awam yang ditetapkan. Sebarang kemasukan tanpa kebenaran ke dalam bilik tetamu atau kawasan larangan memberi hak kepada Resort untuk meminta individu tersebut meninggalkan kawasan Resort, atau mengenakan caj tambahan atas penggunaan kemudahan.
Resort berhak untuk menamatkan penginapan tanpa sebarang bayaran balik sekiranya berlaku tingkah laku yang kasar, mengganggu, atau menyalahi undang-undang.
15. AKTIVITI RESORT (RESORT ACTIVITIES)
Semua aktiviti adalah tertakluk kepada keadaan laut dan cuaca semasa.
Tiada bayaran balik akan diberikan bagi sebarang pembatalan atau perubahan yang dibuat atas faktor keselamatan.
Peralatan yang hilang atau rosak akan dicaj mengikut nilai penggantian (replacement value) peralatan tersebut.
16. CUKAI PELANCONGAN (TOURISM TAX – TTx)
Cukai Pelancongan sebanyak RM10.00 bagi setiap bilik setiap malam akan dikenakan ke atas semua tetamu bukan warganegara Malaysia.
Cukai ini dikutip bagi pihak kerajaan dan perlu dibayar semasa daftar masuk.
Cukai Pelancongan tidak akan dikembalikan sekiranya tetamu daftar keluar awal.
Warganegara Malaysia dan Pemastautin Tetap (PR) dengan MyKad/MyPR yang sah adalah dikecualikan daripada cukai ini.
17. BARANGAN LARANGAN (PROHIBITED ITEMS)
Barangan berikut adalah dilarang dibawa masuk ke kawasan Resort:
Haiwan peliharaan atau ternakan;
Bunga api, mercun, atau sebarang bahan berasaskan api terbuka;
Peralatan memasak atau dapur yang dibawa sendiri;
Peralatan elektrik peribadi yang tidak selamat (contoh: pemanas, seterika, cerek elektrik dan seumpamanya).
18. PERLINDUNGAN DATA (DATA PROTECTION / PDPA)
Resort mengumpul dan memproses data tetamu bagi tujuan pengendalian tempahan, penyusunan bilik, pengebilan, e-Invoicing, serta pematuhan kepada undang-undang dan peraturan yang berkaitan.
Jika dikehendaki oleh undang-undang atau bagi memenuhi obligasi tertentu, data tetamu mungkin dikongsi, setakat yang perlu, dengan pihak berkuasa berkaitan, rakan niaga, atau penyedia perkhidmatan.
Resort tidak menjual atau menyewakan data peribadi, dan akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk memastikan hanya kakitangan yang diberi kuasa dan mempunyai keperluan sah sahaja boleh mengakses maklumat tersebut.
19. UNDANG-UNDANG YANG MENTADBIR & KEBERASINGAN (GOVERNING LAW AND SEVERABILITY)
Perjanjian ini akan ditadbir dan ditafsirkan selaras dengan undang-undang Malaysia. Pihak-pihak dengan ini bersetuju untuk tertakluk kepada bidang kuasa eksklusif mahkamah di Malaysia bagi sebarang pertikaian yang timbul daripada atau berkaitan dengan Terma dan Syarat ini.
Jika mana-mana peruntukan dalam Terma dan Syarat ini didapati tidak sah, menyalahi undang-undang atau tidak boleh dikuatkuasakan oleh mahkamah yang mempunyai bidang kuasa sewajarnya, peruntukan tersebut hendaklah dianggap dipisahkan daripada Perjanjian ini, dan peruntukan selebihnya akan terus berkuat kuasa sepenuhnya.
20. NOTIS AKHIR (FINAL NOTICE)
Dengan mengesahkan tempahan, tetamu dianggap telah membaca, memahami dan bersetuju dengan semua Terma dan Syarat yang dinyatakan di atas.
Redang Beach Resort Sdn Bhd dan Redang Aquatic Adventure Sdn Bhd berhak untuk meminda Terma dan Syarat ini pada bila-bila masa tanpa notis awal.
Versi Terma dan Syarat yang dipaparkan di laman web rasmi pada masa tempahan dibuat akan diguna pakai dan dianggap muktamad.
English (Malaysia)
Chinese Simplified (China) 